Print

 

 

24 Jun 2020 – Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), Universiti Teknologi MARA  (UiTM) telah menganjurkan Mesyuarat Pencapaian Strategik Kualiti 2020 secara dalam talian. Pada setiap tahun, InQKA akan mengadakan program dengan tujuan mengumpulkan pemacu kualiti di peringkat Pusat Tanggungjawab yang menguruskan kualiti untuk menyalurkan maklumat dalam memastikan pelaksanaan dan keberhasilannya mencapai KPI yang telah ditetapkan. Penganjuran mesyuarat ini adalah untuk melaporkan pencapaian strategik kualiti UiTM termasuk cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh PKP 18 Mac 2020 hingga 09 Jun 2020.

Ini merupakan kali pertama mesyuarat ini dijalankan secara dalam talian disebabkan perhimpunan secara besar-besaran tidak dapat dilaksanakan dalam mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19. Mesyuarat kali ini menggunakan dua platform digital iaitu Google Meet  dan juga media sosial FB Live. Melalui Google Meet seramai 223 telah turut serta manakala 446 orang turut menyertai mesyuarat ini melalui FB Live. Ini membuktikan bahawa mesyuarat ini sangat signifikan kepada semua PTJ di seluruh sistem UiTM. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Penolong Naib Canselor InQKA, Yg. Bhg.Prof Dr Hajah Roziah Mohd Janor. Pembentangan pencapaian setiap unit telah dilakukan oleh semua pengarah dan ketua.

Pelaporan dimulakan oleh Ir Dr Amirul Abd Rashid Ketua Unit Pencapaian dan Penarafan. Beliau melaporkan berkaitan dengan aktiviti yang telah dijalankan sepanjang Januari hingga Jun 2020. Aktiviti yang dilaksanakan yang berobjektifkan meningkatkan ranking UiTM di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa, perancangan yang perlu dibuat oleh setiap jentera unit tersebut di setiap Pusat Tanggungjawab (Ranking Champion) serta pemakluman berkenaan pencapaian terkini UiTM di dalam QS World serta THE. Beliau juga melaporkan pencapaian UiTM di dalam UI Greenmetric yang berada di tangga ke-10 peringkat Malaysia dan di tangga ke-183 peringkat dunia.

Pelaporan seterusnya telah dibentangkan oleh Prof Madya Dr Azizah Abdullah Pengarah Unit Jaminan Kualiti Dalaman. Unit IQA yang berfungsi sebagai mini MQA di peringkat UiTM telah melaporkan pencapaian unit tersebut dalam pengurusan pengendalian akreditasi program akademik seluruh sistem UiTM. Disamping menjalankan aktiviti melibatkan pengakreditasian program akademik, unit IQA juga telah berjaya menghasilkan rubrik yang dapat memberi tambahbaik kepada proses yang berkaitan termasuk juga menghasilkan audit secara dalam talian bagi memastikan tempoh PKP COVID-19 tidak menghalang unit ini melakukan audit lokasi.

Selepas pelaporan daripada Pengarah IQA, pembentangan laporan dari unit Sistem Kualiti dan Kecemerlangan Operasi telah dilakukan oleh Prof Madya Dr Nik Rosli Abdullah, Pengarah SKKO. Beliau telah membentangkan keberhasilan unit tersebut dalam tempoh Januari hingga Jun 2020, antaranya adalah kejayaan seperti pemetaan COPIA dan ISO 9001:2015. Disamping itu juga mereka telah berjaya menghasilkan proses audit iQMS secara dalam talian. Selain daripada kejayaan menganjurkan Simposium OE di UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam, sebanyak 123 proses kerja baharu telah didaftarkan di dalam sistem OPIR. Pelbagai program telah dijalankan dengan menggunakan norma baharu dengan melaksanakan aktiviti secara dalam talian.

Dr Nor Hanisah Hashim selaku Ketua Unit Kreatif dan Inovatif juga telah membentangkan laporan pencapaian berbentuk aktiviti peringkat UiTM dan juga bersama pihak industri luar. Beliau juga telah memaklumkan di mana Konvensyen KIK peringkat UiTM ditangguh ke tahun 2021 dan bagi menggantikan aktiviti ini, pertandingan Idea Unggul akan dianjurkan pada tahun ini. Ianya merupakan aktiviti berskala kecil secara dalam talian. Ianya melibatkan pendokumentasian idea dan tanpa pengumpulan data.

Pelaporan seterusnya diikuti pula pembentangan daripada Puan Siti Norul’Ain Mohd Azizi, Ketua Unit Pentadbiran yang juga Ketua Sekretariat Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC). Untuk tahun 2020 ini perancangan untuk bergerak ke fasa digital telah direalisasikan. Bermula dari bulan Januari 2020, unit ini telah mula mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan daripada beberapa orang pakar perunding yang terdiri daripada mereka yang cukup berpengalaman dalam penulisan pelaporan AKNC. Projek ini disokong oleh staf teknikal dari Pejabat Infostruktur dan juga InQKA. Sehingga Jun 2020, kejayaan unit ini telah berjaya membangunkan sistem i-AKNC modul penulisan dan juga buku manual AKNC sehingga peringkat penulisan.Seperti KIK juga, AKNC 2020 ditangguhkan ke tahun 2021 dan pelaporan akan dibuat di dalam sistem dengan melaporkan hasil pencapaian tahun 2019 termasuk tahun 2020 menceritakan pengalaman menghadapi COVID-19 berdasarkan bidang tumpuan yang dipilih oleh PTJ.

Pembentangan terakhir merupakan pembentangan laporan daripada Ts. Dr. Hayati Abd Rahman selaku Ketua Komunikasi dan Pengembangan Ilmu. Beliau telah memaklumkan pencapaian penganjuran 3 Diskusi Web yang telah berjaya mendapat ratusan penyertaan. Di samping itu, beliau telah memaklumkan berkenaan dengan perancangan unit untuk menganjurkan wawancara secara ’live’ secara berkala. Ini akan memberikan lebih peluang kepada individu yang berkesesuaian untuk berkongsi maklumat berkenaan dengan topik kualiti.

Selepas pembentangan telah dilakukan, para peserta diberi ruang dan peluang untuk bertanyakan soalan dengan menggunakan aplikasi Pigeonhole. Setiap soalan di jawab oleh Penolong Naib Canselor dan juga beberapa Pengarah dan Ketua.