SHAH ALAM | 15 Ogos 2017 – Unit Sistem Kualiti dan Kecemerlangan Operasi, InQKA telah berjaya melaksanakan program “Operational Excellence Symposium” pada 15 Ogos 2017 bertempat di INTEKMA Resort and Convention Centre Shah Alam.

Naib Cancelor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, Kecemerlangan Operasi adalah sebagai salah satu Projek Keutamaan yang perlu dilaksanakan oleh semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) di seluruh sistem UiTM membuat penambahbaikan kepada proses sedia ada. Oleh disebabkan itu, beliau melantik Unit Sistem Kualiti dan Kecemerlangan Operasi (SKKO), InQKA bertanggungjawab sebagai peneraju dan pemantau operasi, proses kerja dan aktiviti setiap PTJ supaya lebih cekap, berkesan, menjimatkan dan memuaskan hati pelanggan.

Operational Excellence Symposium ini julung-julung kali diadakan di UiTM bagi memberi pengiktirafan kepada semua PTJ yang telah melaksanakan penambahbaikan proses. Bertemakan Operational Excellence Through Process Improvement, simposium ini diharapkan dapat memberikan suntikan kepada semua warga UiTM untuk berterusan melaksanakan penambahbaikan melalui inovasi bagi mencapai kecemerlangan operasi secara keseluruhannya.

Pengarah unit SKKO, Prof Madya Dr. Roslina Ab Wahid berkata, tujuan simposium ini diadakan adalah untuk memberi pengiktirafan kepada semua staf yang terlibat di dalam inisiatif kecemerlangan operasi university yang bermula dari bulan Jun 2016. Beliau berkata lagi, simposium ini juga diadakan bagi menghargai pencapaian Pusat Tanggungjawab (PTJ) dalam penambahbaikan proses kerja yang mana banyak proses telah dikenalpasti dan ditambahbaik oleh PTJ dengan kerjasama ahli-ahli pasukan yang ditubuhkan khas di PTJ masing-masing untuk melakukan penambahbaikan proses ini.

Penceramah jemputan, Prof. Dr Nigel Grigg merupakan seorang Six Sigma Master Black Belt; mantan Presiden dan ahli New Zealand Organisation for Quality; felo Chartered Quality Institute (UK) dan juga Senior Member of the American Society for Quality (ASQ) (USA). Beliau dijemput khas bagi berkongsi pengalaman beliau selama 25 tahun dalam bidang pengurusan kualiti dan penambahbaikan sistem.

Diharapkan melalui simposium ini PTJ dapat berkongsi ilmu dan pencapaian mereka dengan semua yang lain bagi penambahbaikan sistem universiti yang berterusan. Tahniah diucapkan kepada semua penerima Anugerah Kecemerlangan Operasi dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah menjayakan simposium ini. Semoga simposium ini berterusan dan menjadi acara tahunan universiti dalam usaha untuk menjana dan membudayakan kecemerlangan operasi di seluruh sistem UiTM.