Pada 7 Mei 2024, satu lawatan penandaarasan telah diadakan di UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah oleh pihak Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) terhadap pelaksanaan Sistem Pelaporan Audit Dalam UiTM Cawangan Negeri Sembilan, dikenali sebagai eLANS. Projek ini merupakan salah satu inisiatif yang berdaftar di bawah Kecemerlangan Operasi, dan juga penerima Anugerah Naib Johan bagi Kategori Pentadbiran dan Kewangan serta Poster Terbaik Kecemerlangan Operasi UiTM sempena Hari Kemuncak Inovasi UiTM 2023. 

Sesi lawatan diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr.-Ing. Shahrul Azam Abdullah, Pengarah Pengurusan Kualiti, Inovasi dan Kecemerlangan Operasi dan Ts. Dr. Razulaimi Razali, Ketua Pengurusan Kualiti InQKA telah disambut oleh Prof. Madya Ts. Dr. Noorlis Ahmad, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya ChM. Dr. Nur Nadia Dzulkifli, Ketua Unit Kualiti serta ahli kumpulan Smart AuRENS.


Sesi dimulakan dengan taklimat mengenai Sistem eLANS oleh Dr. Wan Elina Faradilla Wan Khalid, Ketua Kumpulan Smart AuRENS. 
Beliau menjelaskan bahawa idea pembangunan eLANS timbul selepas penutupan Sistem e-Pelaporan Audit Dalam UiTM (SePADU) pada Oktober 2020. Pembangunan eLANS bermula pada tahun 2020 dan mula digunakan pada Audit Dalam tahun 2021, dengan penambahbaikan berterusan sehingga kini. Sehingga tahun 2022, semua analisis dan pelaporan audit di UiTM Cawangan Negeri Sembilan telah menggunakan eLANS.

Sistem eLANS adalah laporan audit yang dijana secara atas talian menggunakan perisian autocrat yang mengaplikasikan kaedah gabungan mel (mail merge). Ini membolehkan laporan diakses secara terus oleh auditor dan auditee melalui laman sesawang eLANS. Kelebihan penggunaan eLANS adalah kemudahannya dan penjimatan masa dalam penyediaan laporan audit. Tempoh penyediaan laporan menggunakan eLANS hanya memerlukan 11 berbanding 22 hari sebelumnya, sejajar dengan prinsip pengurusan tangkas UiTM. Projek eLANS juga telah mendapat pengiktirafan melalui penerbitan artikel dalam i-SPIKE 2023, eAccBullets 2022, dan Buletin APB 2022. Kejayaan ini diserlahkan dengan penerimaan Anugerah Emas dalam International Exhibition & Symposium on Productivity, Innovation, Knowledge, Education & Design (i-SPIKE 2023).

Kesimpulannya, lawatan penandaarasan ini memberikan peluang kepada pihak InQKA untuk menilai secara dekat penggunaan Sistem eLANS, dengan harapan ia dapat diperluaskan ke kampus-kampus UiTM yang lain. Keberkesanan eLANS dalam mempercepat dan mempermudah proses pelaporan audit menjadi contoh terbaik inovasi dalam pengurusan kualiti di UiTM.

Contact Us

Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA)
Aras 5, Kompleks Al-Farabi,
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor
MALAYSIA

Website Inquiry:
Webmaster: inqka@uitm.edu.my

Tel: +603-5543 5702
Fax: +603-5543 5721